Friday 23 November 2012

Misi Mencari 'Imam'! 17



BAB 17

Abang Hairi dan Khir sudah balik Johor. Barang-barang aku pun sudah ada yang di bawa ke sana. Penat dengan perkara dan majlis yang berlaku sejak kebelakangan ini, menyebabkan aku kurang bersemangat. Mahu atau tidak,  hari ini aku masuk juga pejabat. Tentu kerja aku melambak. Sebelum perpindahan aku ke Johor, aku perlu menyelesaikan segala tugas aku yang tertunda.

Aku hanyut dengan kerja-kerja di pejabat. Sedar-sedar jam sudah menganjak tiga petang. Kalang-kabut aku berwuduk untuk menunaikan solat. Mujur aku berpuasa hari ini. Tidaklah terkocoh-kocoh untuk fikir masa makan. Telkung yang sememangnya tersedia untuk kegunaan aku di pejabat, cepat di sarungkan ke tubuh. Setelah membaca niat, serta melapangkan fikiran dari hal-hal dunia, aku meneruskan solat.

Usai solat, pintu pejabat aku di ketuk dari luar. Tidak sempat menukar telkung, aku menyuruhnya masuk. Aku terkejut melihat Fauzan sudah berada di hadapan pintu pejabat. Sememangnya, kehadiran yang tiba-tiba saat ini bukanlah dalam jangkaan. Dia tersenyum. Aku menjemputnya masuk sebelum aku minta diri ke tandas untuk memakai tudung.

" Awak tak ada kerja ke?" Soal aku sebelum duduk di hadapannya.

" Kerja tak pernah habis Uzma. Lambat awak solat?"

" Saya terleka dengan kerja. Mujur tak habis waktu lagi."

" Jangan buat selalu." Pesannya lembut tetapi tegas.
Fauzan menggelengkan kepalanya. Aku tahu dia tak senang dengan sikap aku yang mudah tenggelam dengan kerja yang aku lakukan.


Aku pantas mengangguk. Rasa hormat padanya muncul bila dia sering memastikan aku tidak lupa masa. Perlu menghargai setiap masa dan tidak mempersiakan hari aku, hanya dengan kerja-kerja dunia. Itu adalah antara sifatnya yang membuatkan aku senang berada di sampingnya.

" Terima kasih. Awak datang ada apa-apa urusan?"

" Kalau tak ada urusan tak boleh datang?" Soalan aku berbalas dengan soalan darinya.

" Boleh, tapi awak tak pernah datang pejabat saya. Lebih lagi, waktu pejabat macam ini."

" Saya ada talk dekat UiTM. Baru habis, sebab dah dekat, saya singgah. Abang awak cakap, awak kena pindah jaga cawangan dekat Johor?" Aku memandang wajahnya. Ada riak risau di hujung bicaranya. Aku mengeluh kecil.

" Macam yang awak tahu." Dia diam masih menanti aku meneruskan bicara. " Sampai saya kawin, baru dapat kerja dekat cawangan ni balik."

Fauzan mengangguk.

" Buat yang mana awak mampu Uzma. Jangan kecewakan keluarga."

Aku terdiam. Wajahnya yang bersih itu aku perhatikan. ‘Dia ni tak rasa apa yang aku rasa ke?’

" Awak tunggu saya jemput awak. Dan saya harap, awak tetap Uzma yang saya kenali."

" Awak jangan cakap benda yang bukan-bukan ya. Insyaallah, saya okey sahaja."

" I hope so Uzma. I hope so." Nada suaranya lemah. Agak pelik melihat kelakuannya. Hati aku rasa kurang enak.

" Doa yang baik-baik saja. Saya harap awak tak kisah."

" Saya sentiasa doa yang terbaik buat awak. Terbaik untuk kita semua. Insyaallah!" Dia melemparkan senyumannyan khas buat aku. Mungkin untuk menenangkan hati. Tapi, aku tetap merasakan ada sesuatu yang berbeza tentangnya. Kami sekadar berbual kosong, sebelum dia meminta diri untuk balik.

Sekembalinya Fauzan, aku tidak dapat meneruskan kerja. Fikiran aku mula melayang. Apa yang aku fikirkan pun, aku sendiri tak tahu. Yang pasti, hanya Fauzan yang berlegar di fikiran! Macam-macam yang aku buat, tapi tetap nama dan bayangan Fauzan yang muncul dalam kepala ini. Sudahnya, aku main game dalam laptop, sehinggalah sampai masa untuk balik! 

Zakri asyik mengeluh dua tiga hari ini. Esok Hairi akan berpindah balik dan bekerja di sini menggantikan tempat Uzma. Sepatutnya, dia merasa gembira dengan keputusan yang di buatnya. Tetapi, semakin tiba hari yang di nantikan, hati tuanya terasa sayu. Dan sejak dua tiga hari ini, Uzma nampak berbeza.

Marahkah dia? Tak sukakah dia dengan keputusan ini? Sepatutnya, uzma gembira bila pertunangannya dengan Aysh di batalkan mengikut kehendaknya. Ya! Dia memang tersilap percaturan semasa menilai Aysh. Sangkanya Aysh tidak buat perangai yang tidak-tidak di luar pandangan mereka. Tapi, bila Aysh sendiri bertindak mahu menjatuhkan tangannya ke tubuh Uzma, dia tidak dapat terima! Mujur Hairi ada. Kalau tidak, tentu aduan Uzma tempoh hari, dia kurang percaya. Zakri beristighfar mengenangkan tindakannya yang agak terburu-buru.

Sejak Uzma kecil, dia terlalu menjaga anak perempuannya yang satu itu. Orang kata, menjaga seorang anak perempuan sama seperti menjaga lembu sekandang! Tapi, bagi Zakri, Uzma terlalu senang di jaga. Teguran yang dia dan Umairah berikan selalu di dengar walaupun anak itu merungut. Yang pasti, ragam Uzma Zulaika tak seperti rakan sebayanya ketika remaja!

Bila Uzma mula bercinta dengan Hamdan, Zakri hanya banyak memerhati. Uzma pandai bawa diri, jadi dia hanya menitip pesanan supaya tidak terlalu meletakkan harapan. Mereka sama-sama muda. Dan sebagai ibu bapa, Zakri tidak lepas dari perasaan risau. Takut-takut Hamdan berbuat sesuatu yang tidak elok pada Uzma. Rupanya, pelakuan Hamdan tidak banyak beza. Selepas anaknya kemalangan, Hamdan terus berundur! Takut untuk berada di sisi anak gadisnya yang berkemungkinan lumpuh! Hatinya bagai di siat melihat Uzma berusaha bangkit!

Kekecewaan yang pernah Uzma lalui amat memberi kesan dalam hidupnya! Satu-satu puterinya di kecewakan dan di tinggalkan oleh seseorang yang dia sendiri rasakan, menyayangi Uzma! Rupanya dia tersalah menilai kasih saying yang Hamdan tunjukkan. Hatinya berasa agak lega melihat semangat Uzma untuk kembali bangkit. Membuktikan pada bekas kekasih yang dia tidak cacat seperti cacian yang di lemparkan terhadapnya.

Dan bila tiba-tiba Hamdan muncul kembali dan mula bertanyakan tentang Uzma, hati tuanya mula rasa tidak enak! Zarah-zarah benci pada anak muda yang pernah berputik dulu seperti mekar kembali. Serasanya, dia tidak pernah membenci seperti ini. Tetapi, itu yang berlaku bila darah daging yang membesar di hadapan mata di kecewakan!

Kerana itu jugalah, kehadiran Aysh di saat kemunculan Hamdan, dia terima dengan hati yang terbuka. Lebih-lebih lagi Aysh adalah kawan lama Wan yang satu masa duhulu sering berkunjung ke rumah. Perubahan pada diri Aysh yang ketara membuatkan dia yakin, Aysh seorang yang berdisiplin serta bertanggungjawap. Melihat pada layanan yang di berikan kepada Uzma, Zakri yakin bahawa dalam diam Aysh menyintai Uzma.

Mungkin satu saat, Zakri terlupa. Perjanjian yang di tandatangani bersama si anak sehinggakan dia membuat keputusan sedrastik ini! Menerima risikan Aysh tanpa berbincang dengan Uzma. Bahkan bila Umairah bersuara, Zakri memekakkan telinganya. Baginya Uzma lebih selamat berdampingan dengan Aysh dari Hamdan! Sekali lagi anak itu terluka!

Kehadiran Fauzan di saat Uzma hampir bertunang membuatkan Zakri kurang senang! Fauzan agak tenang berhadapan dengannya. Bahasanya agak tersusun dan beradab. Walaupun di sindir. Anak muda itu tetap tenang dan tersenyum. Hatinya agak keberatan bila Umairah merancang menggantikan pertunangannya dengan Asyh, bersama dengan Fauzan. Kepalanya ligat mencari alasan untuk tidak meneruskan niat anak-anak dan isterinya!

Biarlah dia menanggung malu! Biarlah saudara-maranya mengutuk majlis tidak jadinya. Tapi untuk menerima Fauzan sesenang ini, Zakri tidak rela. Dia takut pilihan Uzma juga tersilap. Dia tidak mahu Uzma menjadi mangsa keadaan. Dan paling dia takuti, Fauzan berperangai lebih teruk dari Aysh dan Hamdan!

Setahu Zakri, Uzma baru mengenali Fauzan selama sebulan. Dan mana mungkin anaknya itu dapat menyelami hati budi Fauzan! Hamdan dan Aysh yang sudah lama dia kenali, malah sudah bertahun-tahun pun berani buat perangai yang bukan-bukan!

Zakri yakin, belum tiba masanya dia melepaskan Uzma! Biarlah dia di katakan tidak sayang anak. Dari melepaskan Uzma kepada lelaki yang dia sendiri tidak kenali, lebih baik Uzma pergi ke Johor! Kalau ikutkan hati tuanya, biarlah Uzma duduk jauh dari Fauzan, Aysh atau Hamdan. Biar anaknya itu mulakan semuanya dari awal! Itu tekad barunya!

Suara Umairah yang sedang bergelak ketawa dengan Uzma membuatkan Zakri tersedar! Sudah jauh dia termenung sehinggakan isteri dan anaknya masuk di ruang tamu rumahnya pun, Zakri tidak menyedarinya.

" Mak selalu datang rumah abang Hairi tau. Kalau boleh Uzma nak mak ikut Uzmalah mak." Umairah tergelak mendengar celoteh Uzma.

" Mana boleh, nanti abah tak boleh tidur! Kan bang?" Pertanyaan Umairah membuatkan Zakri terpinga-pinga.

" Abah pula? Mak tu yang tak dapat tidur bila tak ada abah. Takut pula makan mak kamu tu tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah!" Mengekek Uzma ketawa. Zakri tersengeh memandang isterinya. Umairah mencubit pehanya. Perit! Tetapi, melihat gelak tawa Uzma, hatinya jadi lega! 


" Dah dua tiga hari saya perhatikan abang. Termenung sana, termenung sini. Abang ni kenapa?"

Soalan yang di lemparkan oleh Umairah membatalkan niat Zakri untuk keluar melihat tanaman di halaman rumahnya. Dia melangkah menghampiri isterinya yang sedang duduk melipat kain baju. Wajah isterinya yang sudah menjangkau usia lima puluh empat tahun, masih membuatkan hatinya bergetar! Cintanya pada Umairah masih seperti dulu. Malah dapat memperisterikan Umairah adalah suatu rahmat dalam hidupnya.

Zakri menarik nafas panjang. Dia tidak tahu jawapan apa yang perlu di berikan kepada Umairah.

" Awak ni. Pandai sajalah. Saya tak ada apa-apa." Zakri masih mahu menyembunyikan perasaannya.

" Abang jangan nak tipu saya. Dah berpuluh tahun kita hidup bersama. Takkanlah saya tak perasan perangai abang yang pelik ni." Umairah tetap menagih jawapan darinya.

" Saya menung pun salah ke maknya?"

" Menung abang tu macam dah jauh sangat. Mahu saya tak tanya."

" Haish! Awak ni. Saya bukan menung apa pun. Cumaaa..." Ayat Zakri terhenti di situ. Dia menelan air liur. Terasa tekaknya kering tiba-tiba. Ayat yang mahu di tuturkan tergantung di situ.

" Cuma apa bang? Berat hati nak lepaskan anak dara abang yang sorang tu ke?" Zakri mengeluh. Memang itu yang di rasainya saat ini. Esok, dia akan pergi menghantar Uzma ke Johor. Duduk di rumah milik Hairi di Indahpura.

" Entahlah. Saya rasa, macam saya dah buat silap."

" Apa yang silapnya? Cuba abang bagi tahu saya."

" Tentang Uzma. Berat sangat hati saya nak melepaskan dia."

" Dah tu? Abang juga yang buat keputusan tu. Entahlah! Saya pun tak faham, mana salahnya Uzma di mata abang sampai tiba-tiba abang suruh dia pergi ke Johor."

Zakri termenung lagi. Ya! Uzma tak melakukan kesalahan yang serius. Hanya kerana hubungan Uzma dengan Fauzan yang baru bermula, dia menghukum anaknya. Selama ini, dia tidak pernah masuk campur urusan jodoh anak-anak. Semuanya atas pilihan mereka. Cuma, kejadian yang menimpa Uzma dulu membuatkan dia serik! Takut kehilangan satu-satunya puteri dalam keluarga.

" Biarlah dia pergi. Nanti kalau keadaan dah tenang, saya panggil dia balik." Zakri terus menetapkan pendiriannya seperti sebelum ini. Umairah hanya menggelengkan kepalanya. Kalau ikut hatinya, dia tidak bersetuju langsung dengan perintah dari suaminya. Tapi, demi menjaga hubungan suami isteri, dia mengalah dulu. Nanti pandailah dia memujuk Zakri.



Abang Hairi hanya senyap memandang aku. Dia tahu aku agak beremosi ketika ini. Bukannya aku akan pergi untuk jangka masa yang lama. Tapi, sebab kemahuan abah, aku tetap turutkan juga. Aku tidak suka melawan bila abah atau emak, jika mereka meminta aku berbuat sesuatu yang mereka fikir baik buat aku. Yang pasti, aku mahu menyenangkan hati mereka walaupun dalam diam hati aku terluka. Biarlah aku berkorban!

" Abang jangan tengok Uzma macam tu boleh tak?"

" Tengok macam mana?"

" Tengok macam Uzma ni kesian sangat!" Entah kenapa aku membentak! Abang Hairi beralih duduk di sebelah aku. Bahu aku di peluk erat.

" Dah berapa lama Dear tahan air mata?" Soalannya membuatkan aku bertambah sebak. Betullah orang kata, kembar selalunya ada naluri yang sama, walaupun bukan kembar jantina yang sama, kami tetap masih mempunyai naliri yang kuat. Aku tunduk menguis-nguis jari. Petang tadi masa jumpa Diah dan Fyna, aku masih mampu bertahan dari mengalirkan air mata. Tapi, selama mana aku mampu bertahan?

Abang Hairi mengusap belakang badan dan bahu aku. Keperihatinannya membuatkan air mata aku terus mengalir.

" Dear menangislah puas-puas. Selagi abang ada, abang akan lindungi Dear." Esakan aku yang mulanya perlahan sudah menjadi-jadi. Entah kenapa aku merasakan diri aku tidak dapat mengikhlaskan permintaan abah yang satu ini.

Mungkin, mudah untuk aku tinggalkan rumah dan juga kerja aku di sini. Tapi, untuk tidak menghubungi Fauzan dalam tempoh masa akan datang, aku tidak mampu. Semalam Fauzan datang berjumpa aku. Dan abah mengambil peluang itu untuk berbincang dengan kami.

Atas permintaan abah, aku tidak di benarkan menghubungi Fauzan. Dan kalau Fauzan mahu tahu perkembangan aku, dia perlu melalui abah, emak atau adik-beradik aku yang lain. Aku betul-betul tidak faham dengan permintaan abah. Selama ini, abah tidak pernah pun menghalang aku berkawan dengan sesiapa seperti ini. Sekarang aku betul-betul makan hati dengan permintaan abah.

Fauzan pula bersetuju mengikut permintaan abah. Aku tahu, dia melepaskan aku pergi separuh hati, semuanya dia lakukan demi menyenangkan hati abah. Mujurlah Fyna dan ibu Fauzan faham dan akan selalu update tentang Fauzan kepada aku. Mahu atau tidak, terpaksalah aku turutkan juga.

" Nah, ambil sapu tangan ni." Aku tersentak dengan teguran abang Hairi. Sapu tangan biru itu bertukar tangan. Aku mengelap sisa air mata.

" Terima kasih."

" Sama-sama Dear. Dah lega belum ni? Kalau dah abang nak tukar baju."

" Abang ni!" Abang Hairi tergelak, aku mencebik. Bajunya agak basah dengan air mata aku. Akhirnya aku tergelak juga. Dari kecil, memang abang Hairi yang selalu menemani aku bila tengah bersedih. Bahunya yang akan menjadi sasaran aku! Dia memang kembar aku! Huh! Memanglah!

Sudah dua minggu aku menguruskan kerja-kerja abang Hairi di Johor. Pejabat cawangan ini berada di bangunan tiga tingkat berhadapan dengan Hospital Kulaijaya, sederet dengan Bank Islam. Satu lot kedai tiga tingkat inilah yang abang Hairi buat sebagai stor penyimpan, pejabat dan juga tempat pengedaran. Kerja yang aku ambil alih, tidak banyak bezanya. Yang berbeza adalah tempat, pengurusan dan juga client!

Sejak berpindah, aku sibuk dengan urusan pejabat. Tapi, ia tak dapat menenggelamkan rasa sunyi dan rindu aku pada Fauzan. Semalam Khir cakap Fauzan kirim salam! Aku jadi penasaran! Rindukan kehadiran dirinya yang sering buat aku berdebar-debar tidak tentu arah! Berjumpa hampir setiap hari dengan Fauzan sebelum ini membuatkan aku kekok! Kekok bila tiba masa lunch, aku hanya di temani oleh Khir dan kadang-kala staff-staff di pejabat.

Pintu pejabat aku di ketuk, dan belum aku suruh masuk, muka Khir dah terpancul bersama sengihannya.

" Cik Uzma yang cantik manis! Encik Hafiz dengan Tuan Sulaiman, Client yang datang dari Ayer Hitam tu dah sampai. Jom meeting!" Khir menanti aku di pintu. Aku mencapai fail dan mengekori langkah Khir.

Aku melangkah masuk bila Khir sudah membukakan pintu ke bilik mesyuarat. Dua orang lelaki yang kemas berpakaian kasual menanti. Aku melemparkam senyuman.

Khir memulakan mesyuarat selepas kami berkenalan. Segala infomasi tentang produk yang kami hasilkan aku bentangkan. Encik Haris nampak berpuas hati, ketelitiannya dalam mengambil tahu produk syarikat, benar-benar membuatkan aku senang. Walaupun usianya baru menginjak ke angka tiga puluh, tetapi aku kira, kewibawaannya terserlah.

Tuan Sulaiman hanya mendengar, sesekali dia menyoal. Aku dan Khir agak berpuas hati dengan tindak balas mereka. Selesai mesyuarat, Tuan Sulaiman meminta kami menyediakan kontrak untuk di tandatangani bersama.

" Cik Uzma baru ke dekat sini?" Soalan itu tiba-tiba keluar dari mulut Encik Hafiz. Aku tersenyum mendengar pertanyaannya.

" Baru sahaja dua minggu. Sebelum ni saya dekat cawangan Shah Alam." Dia mengangguk.

" Patutlah. Terkejut I tadi bila mereka kata Cik yang akan handle. Sebelum ini bukan staff lelaki?"

" Ya. Sepatutnya lelaki. Itu abang I. Kami tukar position."

" Oh! Patutlah. Okeylah cik Uzma, Encik Khir. Kami balik dulu. Nanti kita berurusan lagi." Aku hanya mengangguk. Khir yang menghantar mereka ke pintu masuk. Aku pula masuk ke pejabat aku. 

Semenjak aku menggantikan abang Hairi, ramai juga client yang bertanyakan kenapa tiba-tiba pengurusan di tukar dengan aku. Aku hanya mampu menjaap, ianya hanya untuk sementara. Mungkin dalam masa setengah tahun kepada setahun sahaja. Kadang-kadang penat juga aku mahu menguruskan pentadbiran cawangan di sini. Ya lah, sebelum ini, aku tidak banyak berjumpa dengan client. Abang Am yang selalu menguruskannya. Tapi, apabila berada di sini, aku tak boleh mengharapkan abang Am mahu pun Khir.

No comments:

Post a Comment