Monday 15 October 2012

Misi Mencari 'Imam'! (4)

 BAB 4

Album lama yang berada di atas almari pakaian aku tarik. Satu persatu lembaran aku buka. Muka aku yang berwajah ceria terpampang di kebanyakan halaman album ini. Gambar Hamdan hanya ada sekeping sahaja yang masih berada dalam simpanan aku. Kalau boleh aku tak mahu menyimpan gambarnya lagi. Tapi, aku rasa seperti tak sanggup untuk menghapuskan semuanya. Cukuplah aku hanya menyimpan gambar candidnya yang aku curi-curi ambil semasa dia sedang belajar di perpustakaan.

Zaman bercinta dengannya seperti bermain-main di ruang layar ingatan. Entah kenapa senyumannya yang satu masa dulu dapat membuatkan hati aku tidak senang berdegup, terbayang di mata. Rasanya seperti masih baru lagi dia meninggalkan aku dengan keputusan yang membuatkan seluruh kepercayaan dan cinta aku di ragut pergi dalam sekelip mata! Aku terpandang gambar aku sedang tersenyum masam semasa menunggu Hamdan. Dan seingat aku, itulah kali terakhir aku bercakap dengannya!

Sudah hampir empat puluh tujuh minit aku duduk melangut sendirian di Kopitiam Syeksyen Tujuh. Budak pelayan kedai ni pun dah tiga ke empat kali mengulang tanya oder. Akhirnya, nak tak nak, aku oder jugalah. Bayang Hamdan langsung tak nampak! Call pula masuk peti simpanan suara. Lama-lama aku bosan! 

Bukan sekali Hamdan lambat, berkali-kali. Tapi aku macam tak ambil kisah. Mungkin sebab itulah perangai dia semakin menjadi-jadi. Sudah banyak juga cerita yang aku dengar tentang Hamdan. Tapi, aku tak pernah ambil pusing! Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri! Tak pernah sangkut apa pun cerita tentang keburukan Hamdan dalam kepala aku. Kata orang, kalau sedang asyik bercinta dan terlalu sayangkan orang tu, benda busuk depan mata pun jadi wangi, jadi indah! Aku macam itukah? Aku tertanya-tanya sendiri.

Orang lelaki selalu cakap, perempuan ni kuat mengongkong, suka lelaki yang kaya dan berpoket tebal, pandai mengayat, dan paras rupa haruslah 'market'. Aku pula memang tak pernah menyenaraikan semua ciri-ciri itu dalam hati atau pemikiran aku. Tapi, ciri-ciri itu memang ada pada Hamdan. Rezeki! 

‘Mamat ni memang sah-sah tak datang!’ Satu jam setengah aku tunggu! Air durian belanda yang aku pesan tadi bukan je tinggal sedikit. Tapi dah habis dua gelas! Jangankan bayang, batang hidung Hamdan, si anak kelahiran Peneng itu tetap tak juga muncul. Harap saja rupa yang menawan, tapi sekarang aku dah makin rasa kurang tertawan untuk menunggu lebih lama. Tampa banyak fikir, aku terus membayar bil dan angkat kaki. 


Jalan dekat Batu Tiga Shah Alam ni memang agak sesak bila masuk ke petang. Aku dengan berhati-hati menjadi minah rempit yang berhemah. Tak nak bawak laju-laju. Dan sememangnya aku tak berani nak pandu laju-laju jika banyak kenderaan. Bukannya tak faham jalan dekat Shah Alam ni, asal petang saja sesak, tak pun hujan. Dalam keadaan jalan yang berbukit sedikit inilah yang membuatkan aku lebih berhati-hati menjadi minah rempit. Lagi pun bukan aku nak kejar rumah aku tu! Takkan ke mana rumah tu.
 
Entah di mana silapnya, aku pun tak pasti, tiba-tiba aku rasa melayang-layang dan dunia aku menjadi gelap! 


Sedapnya dapat tidur lama-lama. Selalunya abang Hairi dah bising kejut aku pergi kelas. Lebih-lebih lagi dah nak final exam. Haiihh! Macam tak sedap hati sahaja bila abang Hairi senyap. Suasana pun lain macam je. Malasnya nak buka mata! Tak boleh jadi ni!

Perlahan-lahan aku bukak mata, tapi macam pelik. Ni bukan bilik aku! Langsir hijau dan panjang menjela macam ni tak pernah pula aku nampak! Aku mula panik, rasa macam sengal-sengal seluruh badan. Tiba-tiba aku rasa sakit yang teramat sangat bila aku nak menggerakkan badan! 
There is something goes wrong!

" Aarrgggghhh!!!" Sedaya upaya aku mengeluarkan suara untuk menjerit. Tekak ni jangan cakap la, memang sakit yang teramat sangat! Apa yang dah jadi ni?

" Alhamdulillah! Sedar juga kamu Uzma!" Suara emak yang agak garau itu buat aku agak terdiam. Buang tebiat ke emak ni? Aku toleh ke sebelah kanan, emak bangun terpisat-pisat. Mukanya nampak kepenatan. Kenapa emak tunggu aku tidur pula?

" Mak, Uzma kat mana ni?" 

" Baguslah kamu sedar Uzma! Mak takut betul bila kamu dah seminggu tak bangun-bangun! Kamu dekat hospital sekarang." 

" Mak, jangan la cakap benda yang saya tak faham! Kenapa saya ada dekat sini?" 

Nasib baik la emak aku ni jenis yang tak cepat gelabah. Dialah yang ceritakan apa yang jadi dekat aku. Rupanya masa aku balik hari nak jumpa Hamdan tu, aku dilanggar dari arah belakang. Yang langgar aku tu bas kilang! Nasib tak kena lenyek dengan bas tu, sebab aku terpelanting dekat bahu jalan! Mengucap panjang aku bila dengar emak cerita. Rupanya Allah masih bagi peluang untuk aku teruskan hidup dekat bumi ini. Alhamdulillah!

Nasib baik luka luaran aku tak teruk, kepala pun tak lah terhentak. Takut juga aku kalau tiba-tiba hilang ingatan. Tak pasal-pasal je aku lupa sapa diri aku ni. Ngeri! Cuma, yang tak sedap aku nak dengar bila emak cakap, tulang belakang aku dah patah. Patah? Aku cuba gerak-gerakkan kaki, tapi rasanya macam terlalu berat dan susah! Macam tak terasa pun yang kaki itu aku gerakkan. Nak menangis rasanya! Aku tak boleh macam ni! Aku nak bangun! Nak berjalan! Cepat-cepat aku capai tepi katil dan cuba berpaut kuat, tapi badan aku terasa berat! Akhirnya aku terdiam di situ sambil mengalirkan air mata! 

Emak yang dari tadi teman aku dekat sebelah dah macam cacing kepanasan! Tapi bila dia tengok aku menangis, cepat-cepat emak peluk dan tenangkan aku. Emak belai-belai rambut aku. Eeh! Mana tudung aku?

" Kenapa Uzma tak boleh bergerak mak? Sakit sangat!" 

Tampa di pinta, air mata kau terus mengalir! Aku tidak dapat menahan perasaan, bila aku tak terdaya melakukan apa-apa. Terasa seperti mimpi ngeri sahaja semua yang sedang aku alami tika ini. Air mata aku di usap penuh kasih oleh emak. Emak memujuk dan menenangkan aku sedaya upaya.

" Sabar Uzma! Doktor cakap, Uzma memang tak boleh bangun sekarang. Duduk pun doktor tak galakkan. Nanti mak panggilkan doktor. Uzma tunggu ya." 

Emak terus keluar dari bilik yang menempatkan aku. Aku tahu emak tahan hati melihat keadaan aku. Emak juga cuba berlagak tabah depan aku. Tapi hakikatnya aku sendiri tahu bahawa emak tidak sampai hati melihat aku menangis. Aku teringatkan abah, Abang Am,
Abang Wan, Abang Hairi, Khir dan juga Hamdan! Di mana mereka? Ah! Air mata ni tak mahu berhenti! Aku nak bangun! Emak! Abah! Tolong la Uzma! 


Tengahari itu abah dan adik-beradik aku datang melawat. Aku sebenarnya masih lagi bingung dengan apa yang jadi. Macam mana aku nak lalui hari ni bila bangun pun aku tak boleh? Muka abah nampak risau sangat! Emak pulak dah agak tenang bila aku dah tak menangis macam isteri kematian suami! Aku cuba untuk mengawal sebak di dada. Cuba menerima cerita dan menghadam keadaan yang terjadi.

Abang Hairi kembar aku mencium dahi, dan memeluk aku pelahan. Muka dia macam nak menangis pun ada! Aku memang rapat sangat dengan dia. Dah kata kembar! Abang Wan, Abang Am dan Khir adik bongsu aku pun mencium dahi aku bergilir-gilir. Emak yang duduk dekat sebelah kanan katil, menggenggam erat tangan aku. 

Abah datang dekat aku, mengusap-usap kepala aku penuh kasih. Dia peluk aku dan cium dua pipi dan dahi aku. Tiba-tiba aku rasa sedih dan sebak pula tengok suasana macam ni. Haih! Buat drama ke! Mana ada camera dekat sini!

" Syukurlah Uzma dah sedar! Abah lega sangat. Jangan tidur lama-lama lagi tahu? Mak tak nak balik rumah langsung sejak Uzma dekat sini." 

Aku cuma mampu mengangguk sahaja. Tak tahu nak cakap apa. Ya lah, aku rasa macam semalam sahaja hari aku jumpa Hamdan yang tak jadi tu. Tapi, semua orang yang jumpa aku cakap dah tujuh hari aku koma! Mahu aku nak percaya! Hoh! Kenapa aku tak boleh percaya ni? Doktor cakap pun aku tak boleh nak terima sangat. Lebih-lebih lagi bila doktor cakap satu perkara yang akan buat hidup aku jadi tunggang langgang! 

" Abah dengan semua jangan la risau. Uzma belum nak mati." 

" Dik! Mulut tu kalau tak cakap pasal mati tak boleh ke?" Aku tengok muka Abang Am macam nak telan aku je. Abah, emak dan adik-beradik aku yang lain menggeleng-gelengkan kepala mereka. 

" Apa Abang Am ni. Betul la. Uzma kenalah selalu ingat tentang kematian. Kitakan hidup bukan untuk selamanya. Destinasi akhir kita dalam kubur juga tau!" Dengan selamber sahaja aku menjawab kata-kata Abang Am. 

" Haaaa. Sah! Memang sah! Khir percaya, ni memang kakak Khir. Mulut yang cakap lepas macam ni memang kakak Khir sorang je." 

" Dahlah. Jangan nak bising-bising sangat. Mak pun syukur sangat Uzma dah sedar." 

Masing-masing menganggukkan kepala. Mak kalau bersuara dekat abang-abang dan adik aku, diorang terus sahaja senyap. Tak macam aku. Menjawab selagi boleh! 
Bising betul bilik aku ni. Dah tak rasa macam duduk dekat hospital. Bilik wad aku ni ada empat katil. Tapi, tiga katil lagi kosong. Jadi kami agak bebas nak bergelak ketawa. Dengan perangai gila-gila adik beradik aku tu. Macam pasar malam dah wad aku ni. Nasib baik la nurse tak datang tegur. 


" Mak! Uzma nak jalan la mak." 

Mak yang tengah mengurut kedua kaki aku tu aku pandang. Mak masih lagi melakukan senaman rutin untuk kaki aku. Biar tak kaku, dan bila aku boleh melangkah, kaki aku masih dapat bertahan. 

" Sabarlah. Nanti kita usaha sama-sama." 

" Tapi Uzma rindu sangat nak berjalan ni mak." 

" Mak tahu. Dari semalam lagi kamu duduk cakap benda yang sama. Tapi, kamu pun tahukan tak boleh. Belum masanya." 

Aku tetap tak puas hati! Rasa macam tak sanggup dah nak baring dekat katil sahaja. Belakang badan aku pun dah rasa gatal-gatal! Tak selesa! Hari ni dah empat hari sejak aku sedar. Rutin baru aku ni buat aku rimas! 

" Mak. Minggu depan Uzma punya final exam. Uzma nak studylah. Boleh mak suruh abang Hairi bawak nota-nota Uzma tak?" 

" Eh, apa pulak? Kamu tak sihat lagi tu." 

" Tolong la Uzma mak. Tangan ni dah boleh gerak. Kepala saya pun sihat. Badan je tak sihat. Mak tolong la minta abang Hairi uruskan. Uzma tak nak ulang semester ni balik." 

" Kamu tetap nak ambil periksa tu ke?" 

" Mestilah! Rugi duit dan masa lah mak. Lagi pun semester akhir. Lepas ni boleh saya rehat untuk pemulihan pula. Mak tolong la. Apa lagi Uzma nak buat mak? Bagi la mak." Sedaya upaya aku memujuk mak supaya membenarkan aku menduduki peperiksaan akhir.

" Mak tak tahu!" 

" Mak..." 

Mak menggeleng-gelengkan kepalanya. Aku kena pujuk mak! Aku nak ambil exam! Aku nak jugak dapatkan Diploma aku! Aku tak nak mengalah. Lagi pun hanya lima kertas sahaja yang perlu aku buat. Dua kelas amali dah pun aku ambil ujian akhir. Aku betul-betul berkeras kali ini! 

Rasanya dah seminggu aku sedar. Tapi bayang Hamdan langsung tak nampak. Abah cakap, selama aku koma, sehari pun tak pernah Hamdan datang. Maksudnya apa? Dia tak tahu ke? Rasanya dah ada yang bagi tahu aku dekat hospital ni. 

Tiba-tiba aku rasa rindu pada Hamdan! Siapa tak sayang kekasih hati? Walaupun aku ni ada sikap yang kisah tak kisah je, tapi aku betul-betul sayangkan dia. Aku kenal dengan Hamdan dari Yahoo Massangger, lima tahun lepas. Setahun selepas mengenalinya kami berjanji untuk berjumpa, dan sejak dari itulah aku berkawan rapat dengan Hamdan, sehinggalah kami bercinta. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, aku mendapat tawaran sambung belajar di peringkat Diploma. Dan tak sangka pula aku dapat sambung belajar dekat tempat yang sama dengan Hamdan. Sejak itu hubungan kami dapat di hidu oleh keluarga aku. Tapi mak dan abah tak kisah. Adik-beradik aku? Mereka pun tak masuk campur sangat. Kecuali abang kembar aku! 

Abang Hairilah yang selalu tolong akusetiap kali melibatkan Hamdan. Diakan lelaki! Tapi, sejak Hamdan kerja, kami memang jarang berjumpa. Tak tahu kenapa. Tapi alasan dia, dia nak kumpul duit sendiri untuk pinang aku! Kembang setaman hati ni bila Hamdan cakap nak kawin! Dan keluarga aku pun dah tahu. Seronoknya!

No comments:

Post a Comment