Tuesday 16 October 2012

Misi Mencari 'Imam'! (6)






BAB 6

Aku pegang tangan Diah. Kuat! Mencari kekuatan! Yang pasti, aku memang tak mampu nak melangkah walaupun setapak kehadapan! Badan aku sudah mula di landa sintom seram sejuk dan sedikit menggigil. Rasa nak demam pun ada. Ya ALLAH! Saat ini aku betul-betul tak kuat!

" Eh, Diah. Jumpa lagi!" 

Dia bersuara, menegur Diah! Sambil tersenyum mesra. Masih seperti enam tahun lepas! Cuma dia nampak matang sekarang. Sudah mempunyai karisma yang tersendiri! Peliknya! Sikit pun dia tak pandang aku. Aku cuba berlagak biasa. Fuuhhh! Janganlah kau tegur aku!

" Assalamualaikumlah abang Hamdan! Sejak bila tak pandai bagi salam ni? Berhai-hai pula?" Sinis sahaja bunyi ayat Diah. Hah! Diah pula membuat muka yang agak tidak senang apabila di tegur oleh Hamdan.

‘Padan muka! Dah lama sangat duduk United Kindom tu sampai lupa bagi salam. Rasakan!’ detik hatiku.

Hamdan tersenyum! Tak terkesan dengan teguran Diah!
  Ya ALLAH! Tolonglah! Biarkan dia berlalu pergi. Aku cuit-cuit Diah, mengajak dia meniggalkan Hamdan.

" Waalaikumsalam! Masih garang macam dulu. Sorry!" 


" Yela, sorrylah sangat! Abang nak apa ni? Diah nak cepat ni. Kawan Diah ni tak sihat." 


" Okey. Kejap sahaja. Abang nak nombor phone akak Uzma boleh tak?" 


Tersentak aku bila nama aku keluar dari bibir Hamdan! Mamat ni dah tak kenal aku? Berubah sangat ke aku ni? Aku pandang Diah, Diah pandang aku. Aku gelengkan kepala aku perlahan. Minta-minta Diah faham! 


" Saya tak berani nak bagi. Abang nak, abang mintak abah Zakri. Tak pun abang Hairi." 

 
" Tolonglah abang, Diah. Abang dah jumpa uncle. Tapi, uncle cakap, kak Uzma dah nak bertunang. Abang tahu, kak Uzma bukan macam tu. Dia tak akan tinggalkan abang!"

Huh! Yakin betul mamat ni. Muka aku dah merah menahan marah! Dia dah jumpa abah? Patutlah! Tapi nak bertunang? Abah ni memang pakar putarbelit! Abah, abah! 


" Kalau abang tahu akak takkan tinggalkan abang, kenapa abang tinggalkan akak masa tu? Abang tahu tak akak perlukan abang masa tu? Akak bukan kehilangan upaya sahaja masa tu, tapi semua yang akak ada, akak dah hilang! Abang ingat, kak Uzma hadap sangat dengan abang?" 


Fuyyoo! Hebat betul si Diah ni punya ayat. Patut aku yang marah sekarang. Tapi Diah pula dah meletup. Aku yang tak senang berada di tengah situasi yang tak di rancang ini mula risau jika kami memancing perhatian ramai. Orang yang melalui kawasan kami berhenti itu sudah mula pandang-pandang. Pekerja di kedai-kedai berhampiran sudah mula menjengahkan kepala mereka apabila suara Diah mula tinggi dan menarik perhatian mereka.


" Abang tahu, abang silap tinggalkan dia. Tapi, abang tak ada pilihan. Keluarga abang dah buat keputusan. Abang terpaksa Diah." 


" Terpaksa? Huh! Dah la abang. Diah tak nak ingatkan abang. Tapi, abang paksa Diah ingatkan abang! Bukan ke masa tu, abang cakap kak Uzma tak layak dengan abang? Kak Uzma dah cacat! Dah tak mampu bagi kebahagiaan untuk abang? Abang tak nak buang masa dengan akak yang terlantar sakit! Abang Hairi pujuk pun, abang halau dia macam abang halau kucing kurap! Apa tu abang?" Aku semakin risau apabila Diah makin galak memarahi Hamdan. Aku tengok Hamdan mula tunduk dengan kemarahan Diah. Aku cuit Diah. “ Diah tak nak jadi penyebab kak Uzma kecewa lagi sebab abang yang…”


" Jom Diah, balik!" Belum sempat diah meneruskan ayatnya aku pantas mencelah.

 Aku tarik tangan Diah meninggalkan Hamdan yang masih terkulat-kulat di sergah Diah. Orang sudah ramai  memerhatikan drama sebabak tu. Sebak dada ni bila teringat kisah lalu! Dan sekarang ni aku malu! Huh! Hamdan, apa lagi yang kau cari?
 
Tangan dan badan aku semakin menggeletar! Hebat betul penangan si Hamdan ni. Kunci kereta tak pun masuk dalam tombolnya! Akhirnya aku campak je kunci tu, dan peluk stereng kereta. Air mata yang aku pertahankan dari tadi gugur jugak. Diah mengusap-ngusap belakang badan aku. Memujuklah!

" Diah minta maaf kak! Diah geram sangat tadi. Sabar ye kak." 


Mengongoi aku menangis. Dah macam budak kecik! Aku pandang Diah, aku tarik dia dalam pelukan aku. Diah memeluk aku erat! Nak bagi semangat! Bila tangisan aku reda, aku minta Diah yang drive. Nak cepat-cepat keluar dari SACC mall ni. Takut Hamdan dapat mengesan kami! 


" Akak okey ke?" 


" Okey. Thanks Diah! Pertahankan akak." 


" Tu wajib kak! Dah lama Diah simpan marah ni. Tapi, marah Diah tak sama dengan marah akak dekat mamat tu. Muka tak tahu malu! Geram betul!" Sisa kemarahan masih jelas terpampar di wajah Diah. Aku hanya menggelengkan kepala.


" Entahlah Diah. Tapi, pelikkan, kenapa dia tak kenal akak?" 


Tergelak Diah dengar soalan aku. Dua tiga kali Diah menoleh ke arah aku, sebelum meneruskan menjawap soalan aku.


" Akak, akak. Akak tak perasan ke akak dah banyak berubah dalam masa enam tahun ni?" 


" Maksud Diah?" 


" Kak, dulu akakkan chubby je. Comel sangat! Tapi sekarang ni, akak dah tiptop! Mana dia nak kenal dah." Ujar Diah sambil menyengeh. Berkerut dahi aku apabila mendengar jawapan Diah. Berubah sangatkah aku? Sedangkan hamdan tidak banyak berubah. Aku masih mengenalinya lagi walaupun sudah lama aku tak bertemu dengannya.

" Dulu, akak teruk sangat ke?"

" Eh, taklah! Akak okey je. Dulu, comel apa. Tapi, sebab kemalangan tu, akak dapat macam-macam jugakkan?" 


" Haih! Peninglah dengar kamu cakap berbelit-belit!"

Diah gelak dengar komen aku. Ya, memang aku dah berubah! Tapi, aku tak percaya pun. Sampailah tadi! Hamdan pun tak kenal aku. Baguslah! Dia tak perlu tahu inilah rupa baru aku!

" Nak pergi mana ni kak?" 


" Jom makan!" 


" Makan lagi? Akak biar betul?" 


" Betullah! Akak belanja. Jom!" 


" Rezeki jangan di tolak, musuh jangan di cari! Haaa. Nak makan dekat mana?" 


" Mulut!" 


" Akak! Main-main je!" 


Mengekek aku gelak! Seronok aku dapat gelakkan Diah! Sudahnya, aku ajak Diah makan KFC dekat syeksyen 2. Seronok kemain la si Diah ni. Aku pun seronok juga! Hamdan? Biarlah! Aku tak mahu fikir! Masa ni aku fikir nak makan! Jom makan! 

" Assalamualaikum! Abang Am! Bila sampai?"

Tak menyempat aku ni. Sampai rumah sahaja, dah nampak kereta Perdana abang sulung aku. Abang Azrul Zamri. Excited sangat! Terus aku salam Abang Am. Abang Am tersengeh tengok aku yang tak menyempat-nyempat tu. 


" Ehem! Ehem!" Suara abah buat aku tersedar. Tak salam emak dan abah lagilah! Cepat-cepat aku bagi senyuman menggatal aku kat abah dan emak, sambil bersalaman dengan mereka seperti biasa. 


" Abang dengar, ada orang tu tak masuk office tadi? Adik pergi mana?" 


Aku tersengeh bila Abang Am tanya. Nak cakap ke tak? Nak ke tak nak? 


" Sengeh pulak dia? Uzma pergi mana?" Mak pulak bertanya. Aku pandang abah. Abah pun menunggu jawapan aku. 


" Uzma pergi SACC mall dengan Diah. Saja ponteng! Tapi..." Ayat aku mati dekat situ sahaja. Rasa sebak dah mula bertandang. Aku pandang emak. Emak pandang abah. 


" Tapi apa?" Abang Am ni memang tak sabar betul. Aku ni tak sedia nak bagi tahu lagilah! 


" Err.. Errr.. Tapi, kejap saja. Uzma jumpa orang yang Uzma tak nak jumpa. Lepas tu Uzma ajak Diah pergi makan dekat KFC syeksyen 2." 


" Fadzirul Hamdan?" 


Aik? Abah ni, serkap jarang dah mengena! Aku garu-garu kepala yang tak gatal. Tak tahu nak cakap apa. Dada dah sebak! Mak duduk sebelah aku. 


" Kamu jumpa budak Hamdan ke Uzma?" 

 
Aku pandang mak, mengangguk. Dengar suara abah dan abang Am mengeluh. Mak usap bahu aku. Aku tengok abang Am dah bangun. Kejap jalan ke hulu, kejap jalan ke hilir. Apa hal abang Am ni?

" Assalamualaikum!" Aku tahu itu suara siapa. Abang Hairi, abang Wan dan Khair masuk ke dalam rumah. Eh! Diorang ni macam janji sahaja? 


" Waalaikumsalam!" Serentak kami menjawabnya. Abang-abang dan adik aku menyalami kami. 


" Eh, kenapa korang semua balik? Esokkan kerja?" Soal aku. Pelik dengan kehadiran mereka semua dalam satu masa.


" Abah panggil suruh balik. Meeting tergempar!" 


Aku tengok mereka semua terangguk-angguk. Apa hal? Aku tak tahu pun? 


" Pasal apa?" 


" Pasal kamu!" Jawap abang Wan. Abang Wan atau nama sebenarnya Azrul Zakwan ni agak senyap sikit dari dua lagi abang aku. Tapi kalau pasal aku, dia tak pulak jadi pendiam. Haih! 


" Kenapa dengan Uzma mak?" Aku tak faham! 


" Malam ni, lepas maghrib, kita berkumpul. Lepas makan, abah bagi tahu kenapa."

Abah yang jawap. Aku dah berdebar-debar dengar arahan abah. Aku pandang abang-abang aku. Ada yang angkat bahu, ada yang menggelengkan kepala. Khir pula, mengacah-ngacah aku. Nama Khir pula Azrul Zakhir. Adik yang paling kuat menyakat aku. Dan dialah satu-satunya adik yang aku ada.

Abang Hairi yang duduk di sebelah aku, dia menjongketkan keningnya! Nak jadi Ziana Zain edisi lelaki ke apa dia ni? Aku haya men jelirkan lidah ke arahnya.

" Dah, Uzma pergi balik, mandi, solat dan rehat. Macam biasa, yang lain masuk bilik, rehat dulu. Abah nak bincang dengan Am."

Arahan abah buat aku mengeluh panjang. Aku mengajak Abang Wan dan Abang Hairi balik ke rumah aku. Biasanya, Khir dan Abang Am sahaja yang tidur di rumah abah. 



Abang Hairi mengekori aku masuk ke rumah. Sementara Abang Wan ambil barang-barang dari dalam keretanya. 


" Bilik biasa tau." 


" Okey Dear! Jom duduk dulu. Abang nak borak kejap." 


Aku duduk dekat sofa berdepan dengan abang Hairi. 


" Abang cuti? Berapa hari? Kenapa tak call nak balik?" 


" Eh, tak menyempat! Sabarlah. Ye, abang cuti tadi ambil setengahari. Sampai ahad, abang dekat sini." 


" Ni kenapa tiba-tiba semua balik?" 


" Abang tak tahu! Tapi, abang rasa Uzma mesti ada apa-apa nak bagi tahu abang. Betul tak?" 


" Entahlah. Tapi Uzma tengah pening la." 


" Pening kenapa?" Tiba-tiba Abang Wan yang baru muncul sambil mengangkut barang-barang menyampuk. Penuh tangan kanan dan kiri! 


" Banyak barang abang Wan? Lama ke abang cuti?" Tanyaku. 

" Sampai ahad. Kita orang ambil cuti sama. Senang tak kocoh-kocoh. Ha, kenapa pening?" Dan sekarang Abang Wan duduk di sebelah aku. Tangannya mengusap kepala aku kejap.

" Hamdan!" Itu sahaja yang terluah di bibir aku saat ini. Aku cuba menganalisis riaksi Abang Wan dan Abang Hairi seimbas. Macam-macam emosi terlakar di wajah mereka. 


" Jantan tu, nak apa lagi?"

Keras suara abang Wan membuatkan aku sedikit terkejut. Abang Wan memang pantang dengar nama Hamdan. Abang Wan merenung aku. Lain macam sahaja! Abang Hairi agak tenang minta aku memberi penjelasan. Jadi, terpaksalah aku cerita pertemuan aku dengan Hamdan di SACC mall tengahari tadi.

Abang Hairi yang tadinya nampak tenang, sekarang macam kucing hilang anak. Abang Wan pula nampak tenang. Tapi aku tahu, dalam kepala otak abang-abang aku ni, tengah merangka plan. Dah tahu sangat perangai mereka! 


" Baguslah dia tak kenal Uzma. Lagi pun, buat apa dia cari Uzma lagi? Bukan dia dah dengan Natasha ke?" Ayat abang Hairi ada unsur-unsur menyampah. Kalau nak fikir, aku seribu kali menyampah dari orang lain. 


" Uzma pun tak sangka dia dah jumpa abah. Patutlah abah buat perjanjian dengan Uzma hari tu." 


" Perjanjian apa dik?" Abang Wan dah pelik. Aku tergelak. Abang Hairi lagilah. Siap berair mata lagi. Hampeh! Akhirnya, abang Hairi yang cerita. Abang Wan tak ada minggu lepas, dia pergi Dubai. Dan mungkin abah tak sempat bagi tahu. Tapi, riaksi abang Wan kali ini nampak puas hati. Aku tak tahu kenapa! Haih! Risau betullah. Meeting malam ni. Topik aku? Adoi! Nak menyorok boleh tak? 

Aku seronok sangat! Maghrib dan Isyak di imamkan oleh Abang Wan dan Khir. Alhamdulillah, abah asuh kami adik-beradik solat berjemaah dari kecil. Yang lelaki semua boleh jadi imam, itulah antara sebab aku nak bakal suami aku nanti mampu mengimamkan solat aku, macam yang adik beradik aku buat! Berangan benda baik tak salahkan?

Mesyuarat yang abah kata buat lepas Maghrib jadi lepas Isyak sebab kami makan dulu dan menyudahkan kerja-kerja mengemas meja makan dan dapur bersama-sama. Meriah! Manakan tidak, kami adik-beradik berasak-asak di dalam dapur emak untuk sama-sama mengemas!
Sesudah siap semuanya, barulah abah buka topik. Emak banyak menyokong usul-usul abah dan abang-abang aku. Khir pulak tukang bingitkan keadaan. Aku? Penat dah tolak cadangan mereka bila ada hal-hal melibatkan aku! Mereka hanya akan ikut kata mejoriti. Sedangkan aku yang membangkang taka da sokongan! Mana boleh jadi! Ini negara berdemokrasi! Aku nak hak aku!

Akhirnya, aku kalah juga dengan lima orang hero aku tu. Aku heroin sorang! Mana boleh menang! Mak pulak serba salah bila tengok aku dah diam. Geram aku tengok abang Hairi! Dia punya idea yang tak berapa nak hot malam tu, buat aku jadi hot! 

No comments:

Post a Comment